Friday, October 14, 2011

Aku Cemburu Ya Allah!

Di hening pagi,
Ketika sang suria masih lagi samar-samar memancarkan sinarnya,
Ketika dedaunan masih basah disirami embun,
Ketika seluruh alam masih lagi sunyi,
Diriku hanya bertemankan sepi.

Aku melihat alam ciptaan Allah,
Langit yg membiru dan terbentang luas,
Pokok-pokok hijau yang tidak henti berzikir kepada Allah,
Kerdil aku rasakan ketika berada di hadapanMu, ya Allah,
Aku tertunduk,
Tubir mata mula digenangi air jernih,
Aku hanyut dibawa bayangan minda.

Peristiwa-peristiwa semalam,
Seringkali menerjah minda,
Biarpun cuba dipadam dan dilupa,
Namun parut tidak akan pergi begitu sahaja,
Pengalaman hidup jauh dari jalan redhaNya,
Membuatkanku benar-benar derita,
Tidak mahu aku kembali melalui jalan yang sama.

Ya Allah, aku cemburu!
Aku cemburu kepada mereka,
Mereka yang mempunyai hati yg dipenuhi dengan cinta,
Cinta kepada siapa?
Cinta kepadaMu wahai Tuhan yg menciptakanku,
Jiwa mereka dihiasi dengan semangat jihad,
Hati mereka diterangi dengan nur cinta yang abadi,
Iman memenuhi kamar sanubari,
Jalan perjuangan sedia mereka tempuhi,
Walaupun mmpunyai ranjau yg melukai.

Segala dugaan yang mendatang,
Dengan tabah mereka lalui,
Setiap tohmahan dan cacian,
Tidak pula mereka peduli,
Kerana hati mereka begitu asyik,
Terleka dan tenggelam oleh manisnya cinta.

Sedang aku di sini,
Dalam kesamaran masih tercari-cari,
Ke manakah hala tuju diri,
Setiap kelemahan berdikit-dikit ku cuba baiki,
Membersihkan kembali segumpal darah yang bernama hati,
Iman yang baru mula untuk berbuah,
Aku rasa begitu payah untuk dipertahankan.

Betapa hebatnya peperangan,
Yang terjadi antara iman dan nafsu,
Terkadang aku berasa ingin berhenti,
Berhenti daripada meneruskan langkah ini,
Tetapi aku tahu,
Bukan mudah untuk menggapai cinta hakiki,
Pengorbanan dan kesakitan harus aku lalui,
Demi sebuah pengakhiran yang bahagia,
Iaitu sebuah tempat di syurga yang ku damba.

Hembusan bayu menyedarkanku kembali,
Ya Allahu Ya Rabbi,
CintaMu menjadi dambaanku,
Dalam keheningan pagi ini,
Aku menadahkan tangan,
Bemohon dan merayu kepadaMu,
Ampunkan segala dosa-dosaku,
Walaupun amat berat dugaan yang Engkau berikan,
Demi setitis cinta aku relakan,
Ya Allah berikanku kekuatan,
Amin ya Rabbal 'Alamin...

No comments:

Post a Comment