Pages


Monday, May 28, 2012

RASA BERDOSA


Rasa berdosa adalah satu perasaan yang positif. Itu tandanya, jiwa kita masih hidup, hati kita masih peka. Mempunyai perasaan bahawa diri ini berdosa apabila melakukan kesalahan, adalah kunci utama untuk bergerak ke arah kebaikan. Menjadi satu masalah apabila kita kehilangan rasa berdosa apabila melakukan kesalahan, kerana pastinya ketiadaan rasa berdosa itu adalah kerana kita memandang kesalahan kita satu perkara yang normal.
Namun, terdapat beberapa orang yang silap dalam memandang rasa berdosa ini.
Kesilapan mereka, membuatkan rasa berdosa memberikan impak negatif di dalam kehidupan mereka.
Mereka rasa berdosa, sehingga mereka tidak lagi bergerak ke arah kebaikan. Kerana mereka merasakan bahawa mereka kotor, dan tidak lagi boleh disucikan.
Ini adalah rasa berdosa yang silap, dan tidak sepatutnya.
Rasa berdosa yang sepatutnya
Rasa berdosa yang sepatutnya, adalah membawa kepada peningkatan diri.
Kita rasa berdosa, lantas kita bergerak mensucikan diri. Kita melakukan kesalahan, segera kita bergerak memperbaikinya. Rasa berdosa menggerakkannya.
Hal ini kerana, rasa berdosa kita sewajibnya perlu datang dengan iringan kefahaman dan kepercayaan bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
Tetapi kalau kita rasa berdosa, rasa diri kita ini kotor, tetapi pada masa yang sama kita menutup pintu hati kita daripada keampunan Allah SWT yang luas, maka kita hanya akan bergerak ke lurah kehancuran.

Allah dan kefahamanNya kepada kita
Allah adalah pencipta kita. Yang paling memahami kita adalah Dia. Dia adalah yang paling tahu kadar kemampuan kita. Dia adalah yang paling tahu akan keadaan kita. Allah itu Maha Tahu, sebelum Dia menciptakan kita lagi, bahawa manusia ini akan melakukan dosa. Memang Dia menciptakan kita demikian.
“Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya) serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” Surah Asy-Syams ayat 7-8.
Maka adakah Allah sekadar menjanjikan azab siksa untuk yang ingkar sahaja?
Adakah Allah mendiskriminasikan pendosa sedangkan Dia memang menciptakan kita dengan kemungkinan untuk berdosa?
Tidak. Tetapi lihatlah apa yang Allah katakan kepada para pendosa:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53.
“Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.” Surah An-Nisa’ ayat 64.
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?” Surah Ali Imran ayat 135.
Nah. Allah itu memberikan ruang dan peluang kepada kita.
Maka mengapa perlu rasa berdosa sehingga tidak mahu bergerak ke arahNya?

Syaitan yang menipu
Di dalam hal rasa berdosa sehingga tidak lagi mahu melakukan kebaikan ini, kita tidak boleh lupakan ‘sahabat karib’ manusia yang sentiasa berusaha membawa manusia kepada kecelakaan akhirat.
Itulah dia Iblis, Syaitan dan kuncu-kuncunya.
Mereka ini mempunyai pelbagai taktik. Antaranya, menggunakan kepositifan untuk membawa kepada kenegatifan. Contohnya adalah apa yang kita sedang bincangkan.
Rasa berdosa adalah positif. Tetapi syaitan akan membisikkan kepada kita keputus asaan.
“Kau dah berdosa teruk ni, tak boleh patah balik dah ni.”
“Ini dosa besar ni, Allah memang dah tak akan pandang kau lagi.”
Dan kita akhirnya berlari pergi daripada Allah, daripada kebaikan, kerana kita merasakan bahawa: “Aku bukan orang-orang itu lagi. Aku dah tak boleh diselamatkan. Tak boleh patah balik.”
Sedangkan, Allah sentiasa membuka ampunanNya kepada manusia.
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 268.

Adalah berbeza orang itu dan orang ini.
Namun, ada segolongan manusia yang keji. Mereka ini adalah pengkhianat.
Pengkhianat kepada rahmat dan kasih sayang Allah yang luas.
Mereka memang sengaja melakukan dosa, dan bertaubat dalam keadaan “Bila taubat ni, dosa haritu dah terpadam. Jadi, bolehlah buat lagi dosa. Nanti taubatlah semula.”
Dia melakukan dosa dengan sengaja, dengan perasaan bahawa dosanya itu tidak mengapa kerana nanti boleh bertaubat. Ini adalah pengkhianatan kepada kasih sayang Allah SWT.
Mereka ini berbeza dengan golongan yang rasa berulang kali melakukan dosanya, dalam keadaan benci kepada dosanya dan bersungguh-sungguh berjuang meninggalkannya.
Memang wujud isyarat bahawa Allah SWT menyuruh manusia berulang kali bertaubat. Tanda bahawa manusia ini memang akan melakukan kesalahan berulang-ulang. Namun adalah amat berbeza berulang-ulang melakukan dosa dengan sukarela, tanpa ada usaha-usaha mencegahnya, dengan terulang dosa kerana tertewas dalam perjuangan menentangnya.
Persoalannya, apakah kita menentang dosa kita? Atau kita menerima dengan tangan terbuka? Adakah kita merancang untuk menjauhi dosa, atau kita tidak merancang untuk menjauhinya? Nyata dua golongan itu punya perbezaan yang sangat ketara.

Penutup: Maka janganlah berputus asa. Bergeraklah ke arah kebaikan.
Maka janganlah berhenti melakukan kebaikan, hanya kerana semata-mata rasa berdosa. Rasa berdosa itu positif. Positif kerana ia memacu kita untuk beramal dengan lebih kuat bagi menebus kesilapan kita. Maka jangan kita negatifkannya dengan merasakan kita terlalu kotor untuk diampunkan.
Siapakah kita yang hendak melimitkan kuasa pengampunan Allah kepada kita?
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, (bahwa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” Surah Al-Maidah ayat 9.
Dan ayat Allah SWT ini jelas menunjukkan bahawa, keampunan itu datang dengan beramal soleh. Rasa berdosa semata-mata tidak akan menyelamatkan kita. Jika benar rasa berdosa, maka sepatutnya kita meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah Al-Baqarah ayat 218.
Bergeraklah. Padamkan dosa kita dengan bergerak ke arah kebaikan.
Sesungguhnya Allah SWT itu ampunanNya luas dari jangkaan.

No comments:

Post a Comment